SEJARAH PENGASASAN DAN PERKEMBANGAN SEKOLAH MENENGAH METHODIST ( A.C.S. ) KAMPAR, PERAK
Oleh
En. Chang Hon Woon
ISI KANDUNGAN :
(A) Pengenalan
(B) Asal Usul Penubuhan
Anglo-Chinese School, Kampar Dan Sebab-sebab
Penubuhannya (1903 –1915)
(D) Perkembangan ACS, Kampar Sebelum Merdeka Dan Masalah- MasalahYang Dihadapinya ( 1915-1957 )
(E) Perkembangan
Anglo-Chinese School, Kampar Selepas Kemerdekaan (1958-1980)
(F) Rumusan
Nota :
Sejarah Kajian Tempatan ini ditulis oleh En. Chang Hon Woon (seorang Guru Sejarah) di sekolah tersebut pada tahun 1998 semasa menikuti Program Pengajian Jarak Jauh di Universiti Sain Malaysia. Penulisan ini merupakan Mini Tesis untuk Tahun Akhir pengajian ijazahnya.
Tujuan utama saya membuat kajian tempatan mengenai sekolah ini ialah untuk mengesan sejarah pengasasan serta perkembangan Sekolah Anglo Chinese School di daerah Kampar, Perak dan seterusnya mendokumentasikannya sebagai satu usaha untuk memperkayakan bahan sejarah tempatan. Mudah-mudahan bahan kajian ini akan menjadi sumber rujukan khususnya kepada pelajar-pelajar di sekolah ini.
Sekolah Anglo-Chinese School, Kampar merupakan sekolah yang pertama sekali ditubuhkan oleh mubaligh Kristian dengan bantuan Kerajaan British di daerah Kampar, Perak pada masa itu. Sekolah tersebut dibina pada tahun 1903 dan telah banyak memberikan sumbangan dari segi perkembangan sosio-ekonomi masyarakat di Kampar. Di sepanjang hampir seabad penubuhannya, sekolah ini telah berjaya melahirkan ramai golongan profesyenal, ahli-ahli usahawan, sukan serta tokoh-tokoh masyarakat yang berkaliber. Kejayaan-kejayaan yang diperolehi oleh mereka ini seterusnya menyumbang ke arah mengharumkan lagi nama institusi pendidikan ini sehingga pada masa kini ia masih lagi dikenali sebagai sekolah prima (primier school) di daerah Kampar. Oleh sebab itu tidak hairanlah sekolah ini masih menjadi pilihan bagi ramai ibu bapa di daerah Kampar, Malim Nawar, Mambang Diawan serta Temoh, Perak untuk menghantar anak-anak mereka belajar di sini. Ini ialah kerana mereka menaruh keyakinan penuh terhadap kemampuan serta prestasi cemerlang sekolah ini.
(B) Asal Usul Penubuhan Anglo-Chinese School, Kampar Dan Sebab-Sebab_Penubuhannya
(1903 –1915)
Pekan Kampar yang pada masa dahulunya
terkenal sebagai pekan perlombongan yang pesat. Ia hanya terdiri daripada
beberapa lorong kedai dan rumah papan. Kebanyakan daripada penduduknya terdiri
daripada orang Kantonis dan Hakka yang mempunyai kaitan yang rapat dengan
industri perlombongan. Anglo-Chinese School telah mula diasaskan hampir seabad
yang lalu iaitu pada bulan April 1903 oleh seorang mubaligh Kristian berbangsa
Inggeris dari mazhah Gereja Methodist. Nama beliau ialah Reverend William E.
Horley. Beliau merupakan seorang Padri Kristian dari mazhah Gereja Methodist di
Asia Tenggara. Dengan pembukaan sekolah ini maka bermulalah sistem pendidikan
yang menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya bagi kanak-kanak di sekitar kawasan
Kampar, Perak pada ketika itu. Pada masa itu masyarakat Cina merupakan penduduk
majoriti di pekan itu dan oleh itu hanya pendidikan China sahaja yang terdapat
di situ. Visi beliau yang bijak itulah akhirnya menjadikan sekolah ini antara
sekolah yang terkemuka di Daerah Kinta Selatan. (1)
Rev.
William E. Horley dilahirkan pada 5hb. Jun 1870. Beliau tiba ke Singapura pada
tahun 2hb. April 1931. Beliau telah banyak berjasa dalam mengasaskan rangkaian
Sekolah-Sekolah Methodist di seluruh Tanah Melayu. Beliau lebih dikenali
sebagai pengasas Anglo-Chinese School, Ipoh. Ini ialah kerana beliau
bertanggung jawab mengasaskan Anglo-Chinese School yang pertama di Perak pada
bulan Ogos 1895, sepuluh tahun selepas Sekolah Methodist yang pertama di Tanah
Melayu ditubuhkan di Singapura. Sekolah A.C.S. itu pada asalnya merupakan
sebuah rumah Melayu beratap dengan bilangan pelajar seramai 4 orang sahaja. Di
atas kegigihan usaha beliaulah Sekolah-Sekolah Methodist tumbuh di merata
tempat di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. (2)
Hubungan
beliau dengan sekolah-sekolah tidak berakhir selepas penubuhannya sahaja malah
beliau terus menjalinkan hubungan yang rapat dengan pelajar-pelajar lelaki dan
perempuan di Sekolah-Sekolah Methodist ini. Personaliti beliau yang alim,
ikhlas dan peramah ini sangatlah disanjungi oleh masyarakat A.C.S. semasa
meletakkan batu asas untuk sebuah sekolah pada tahun 1904, beliau pernah
berkata, “I am a lover of boys and I would like to see every lad get an equal
chance to be fully equipped to fight life’s battles…. I trust that this school
will be the seed plot of many virtues and that the lads…. May grow up to be a
credit to the community –to this country. We want to teach the growing
generation how to live noble, useful and good lives.” (3)
Di sepanjang 37 tahun kariernya sebagai mubaligh, kebanyakan daripada masanya dihabiskan untuk berkhidmat di Ipoh dan Kuala Lumpur, kecuali di antara 1929-1931 apabila beliau dilantik sebagai District Superintendant di Singapura. Perletakan batu asas untuk sekolah Anglo-Chinese School, Kampar ini bermula pada April 1903 apabila Rev. W.E. Horley memulakan sebuah kelas Bahasa Inggeris di Chinese Methodist Church. Ini bermakna bahawa bangunan sekolah yang pertama itu merupakan sebuah rumah gereja. Pada masa itu seramai 45 orang pelajar telah berdaftar untuk kelas itu dan guru yang pertama di sekolah tersebut ialah En. Ling Ching Mi. (4) Kerajaan Inggeris pada masa itu telah memberikan geran khas untuk membayar gaji beliau. Kesemua pelajar pada masa itu terdiri daripada lelaki. Kaum perempuan tidak dibenarkan belajar pada ketika itu. Dua orang guru bernama En. Lo Wei Kwang dan En.Chong Wan Fook yang pernah mengajar di sekolah itu dan bersara pada tahun 1950 merupakan bekas pelajar-pelajar perintis sekolah satu kelas yang telah disebutkan tadi.
Permulaannya sebagai institusi pendidikan
satu kelas di bangunan Chinese Methodist Church adalah di atas tanggungan pihak
gereja. Walau bagaimanapun Rev. Horley telah berjaya
memperolehi Geran Kerajaan untuk membayar gaji guru di situ. Pada tahun 1904,
seorang lagi guru diambil untuk mengajar di sekolah itu dan beliau ialah En.
Phong Ah Sang. Atas usaha gigih beliau, bilangan pelajar bertambah menjadi
seramai 70 orang. (5) En. Phong Ah Sang berkhidmat di sekolah itu dari tahun
1904-1909. Dalam tahun 1906, Rev. W.E. Horley melaporkan kepada Methodist
Annual Conference bahawa sekolah itu sedang berkembang dengan cepat. Beliau
berkata, “.... I am sure that we would easily collect enough money to put up a
fine building. Kampar is a rising town and growing rapidly.” (6) Pada tahun
1910, En. Kwan Tien Poh yang berasal dari Melaka mengambil alih sekolah itu
daripada En. Phong Ah Sang dan berkhidmat di sekolah itu selama setahun lamanya. Dalam tahun 1912, En. Chu Chong Khe
berkhidmat sebagai Guru Besar selama setahun dan seterusnya digantikan oleh En.
Lim Eng Chuan yang juga berkhidmat selama setahun. Pada tahun 1915, Rev. Paul
Ponniah telah dilantik sebagai Guru Besar di sekolah itu dan bilangan pelajar
yang mendaftar menjangkaui 112 orang. (KACSIAN 1978)
Oleh
kerana sekolah itu mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan masyarakat
tempatan Kampar maka masalah petempatan pelajar-pelajar kian ketara. Oleh itu
Rev. Horley terpaksa membuat rancangan untuk membina sebuah bangunan yang cukup
besar untuk menampung keperluan bilangan pelajar yang besar. Untuk mencapai
matlamat ini, pihak gereja terpaksa berusaha untuk mencari derma di kalangan
masyarakat tempatan. Perkara mendapatkan derma di kalangan masyarakat tempatan
tidak menjadi masalah yang besar kerana bermula dari waktu itu keadaan fizikal
sekolah ini berkembang secara berunsur-unsur.
Gereja Methodist menpunyai hubungan yang
rapat dengan American Methodist Church yang semenjak tahun 1784 telah
mengarahkan mubaligh-mubaligh Methodist supaya mengembangkan pendidikan kepada
golongan muda di mana-mana sahaja. Akibatnya American Methodism berjaya
mengembangkan institusi-institusi pendidikan dan menguruskan lebih banyak
sekolah berbanding dengan Badan Protestant yang lain. (7) Justeru itu memang
tidak dapat dinafikan bahawa Gereja Methodist mempunyai matlamat-matlamat yang
tertentu dalam usaha mereka untuk mengembangkan pendidikan Inggeris d Tanah
Melayu. Pada keseluruhannya terdapat 4 sebab utama penubuhan Sekolah-Sekolah
Methodist di Tanah Melayu dan saya rasa matlamat-matlamat ini juga berhubung
kait dengan sekolah Anglo-Chinese School ini.
Matlamat-matlamat tersebut ialah seperti berikut :
1) Penyucian Diri Dari
Segi Jasmani ( The Sanctity Of The Body ). Pelajar-pelajar digalakkan supaya menceburkan
diri dalam kegiatan-kegiatan senaman seperti gimnastik dan olahraga.
Kegiatan-kegiatan senaman ini penting untuk membentuk tubuh yang sihat.
2) Pembentukan
Pemikiran Yang Cekap ( The Creation Of Mental Efficiency ). Ia bertujuan
memupuk dan memperkembangkan daya kreativiti pelajar-pelajar ke tahap yang
maksima dan justeru itu menyediakan sumber tenaga manusia yang boleh menyumbang
ke arah pembangunan Tanah Melayu.
3) Pembentukan Nilai
Moral yang Sempurna ( The Establishment Of An Unimpreachable Standard Of Morals
). Sekolah-sekolah Methodist ingin memainkan peranan dalam usaha untuk
meningkatkan nilai moral di kalangan masyarakat Tanah Melayu. Ini ialah kerana
nilai moral yang lemah boleh merosakkan tubuh badan dan pemikiran seseorang.
Pihak gereja berpendapat bahawa nilai moral di kalangan generasi muda
masyarakat Tanah Melayu telah kian merosot. Justeru itu Badan Methodist ingin
memberikan sumbangan mereka dalam perkara ini.
4) Mengembangkan Ilmu
Ketuhanan Kepada Pelajar ( The Coronation Of The Spiritual Motive ). Pihak
Sekolah-Sekolah Methodist memberikan penekanan yang tinggi terhadap nilai-nilai
rohaniah. Oleh itu Sekolah-Sekolah Methodist berhasrat untuk memperkenalkan
pelajar-pelajar kepada Tuhan atau Agama Kristian. (8)
(D) Perkembangan
Anglo-Chinese School, Kampar Sebelum Merdeka Dan Masalah-
MasalahYang Dihadapinya ( 1915-1957 )
Tapak
awal bangunan sekolah ini sebenarnya adalah tapak Sekolah Rendah Kebangsaan
Methodist (A.C.S) Kampar sekarang. Kedua-dua buah sekolah ini terletak
bersetentangan di antara satu sama lain. Sekolah yang bermula dengan satu kelas
dan mempunyai seorang tenaga pengajar sahaja (juga bertindak sebagai Guru
Besar) pada tahun 1903 ini telah terus berkembang dari tahun ke tahun.
Disebabkan bilangan pelajar yang berdaftar di sekolah ini kian bertambah maka
tidak dapat tidak keadaan fizikalnya juga terpaksa diperkembangkan. Boleh
dikatakan bahawa kebanyakan pelajar yang berdaftar untuk belajar di sini adalah
terdiri daripada golongan kelas menengah yang berbangsa Cina. Ini ialah kerana
pekan Kampar itu sendiri merupakan sebuah kawasan perlombongan di mana
kebanyakan penduduknya terdiri daripada kaum Cina.
Seperti
sekolah-sekolah mubaligh yang lain, sekolah Anglo-Chinese School, Kampar ini
juga tidak terkecuali daripada dibebani oleh berbagai masalah semenjak
penubuhannya. Dalam beberapa dekad seterusnya pihak pengurusan sekolah ini
terpaksa mencari penyelesaian untuk masalah-masalah seperti kekurangan guru
yang berkelayakan, kekurangan sumber kewangan untuk membayar gaji guru serta
bagaimana hendak mencari sumber kewangan untuk menyediakan bilik darjah serta
kemudahan-kemudahan asas yang lain untuk menampung keperluan bilangan pelajar yang
semakin bertambah ramai. (9)
Rancangan
untuk membina sebuah bangunan sekolah bermula sejak tahun 1915 apabila Rev.
Paul Ponniah dilantik sebagai Guru Besar. Bilangan pelajar telahpun meningkat
seramai 112 orang pada waktu itu. Beliau menyedari bahawa bangunan Chinese
Methodist Church tidak mampu menampung bilangan pelajar yang begitu ramai. Oleh
demikian, sebuah bangunan yang baru perlu dibina supaya mampu menampung
keperluan institusi itu yang kian berkembang. Oleh itu dengan bantuan Rev.
Horley, pihak sekolah itu berusaha untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada
orang ramai. Untuk sementara waktu, sebuah bilik darjah sementara yang
diperbuat daripada kayu telah dibina di sebelah Gereja Cina itu.
Rayuan untuk derma mereka itu mendapat sambutan daripada anggota masyarakat Kampar. Rev. Ponniah serta Jawatankuasa Bangunan yang diketuai oleh Rev. Horley telah melancarkan kempen pengutipan derma untuk membina bangunan sekolah baru yang berharga $27,000. (10) Dalam pada itu pihak Kerajaan telah meluluskan geran sebanyak $10,000 untuk tujuan itu. Kos asal untuk membina bangunan tersebut ialah $20,000 tetapi disebabkan Perang Dunia 1, harga barangan kian meningkat kepada $24,700. Seterusnya ditambahkan pula dengan kos pemasangan peralatan elektrik dan sistem paip serta perabot yang berjumlah $2,300 telah menjadikan jumlah kosnya sebanyak $27,000.
Seterusnya
En. Eu Tong Sen telah mendermakan
sekeping tanah (sebahagian daripada harta Coronation Hill ) untuk didirikan bangunan
tersebut disamping wang tunai sebanyak $3,000. Berbagai rancangan telahpun
dirangka dan usaha pengutipan derma telahpun dilancarkan tetapi telah
tergendala akibat Perang Dunia 1. (11) Pada tahun 1917, En. Paul Ponniah
berhijrah ke India dan En. V. John memangku jawatan Guru Besar selama setahun
sehingga jawatan tersebut diambil alih oleh Rev. C.J. Hall. Di bawah
pentadbiran beliaulah bangunan sekolah yang sudah lama tergendala pembinaannya
telah berjalan semula dan akhirnya berjaya disiapkan pada tahun 1919. Bangunan
sekolah ini mampu menampung bilangan pelajar seramai 320 orang. Setelah siap,
sekolah itu pun berpindah ke tapak bangunan yang baru itu.
Kesemua
ini dapat dijayakan hasil daripada usaha Rev. Horley yang telah banyak membantu
En. Chan Yin Tit, Y.P. yang pada masa itu merupakan Ketua Kerani Jabatan
Perlombongan di Daerah Kampar. En. Chan Yin Tit merupakan seorang pemimpin
masyarakat yang dihormati di Kampar dan menjadi seorang ahli yang aktif dalam
Jawatankuasa Bangunan Sekolah. Di atas kerjasama dan usaha beliau ini, wang
kutipan yang banyak berjaya diperolehi daripada orang ramai di Kampar.
Bersama-sama dengan Rev. Horley, mereka berjaya mengutip derma sebanyak
$23,012. Pembinaan bangunan sekolah sekolah yang baru itu adalah tepat pada masanya
kerana Gereja Cina itu terpaksa
dipindahkan kerana Towkay Leong Kong Chen (pemilik tanah) mahu mengambil balik
tapak tanah untuk tujuan perlombongan.Geraja
Cina itu akhirnya dipindahkan ke tapak yang lain iaitu di tapak Sekolah Rendah
Kebangsaan Methodist (A.C.S) Kampar sekarang yang terletak di sepanjang Jalan
Kuala Dipang. Untuk sementara waktu sebuah rumah milik seorang jurutera
Inggeris telah dibeli untuk digunakan sebagai sekolah selama beberapa bulan
sebelum bangunan sekolah itu siap. (12)
Bangunan
sekolah tersebut telah dibuka secara rasminya pada tahun 1919 oleh En. R.G.
Watson, iaitu Residen British di Perak. (13) Peristiwa yang penuh gemilang itu
dimeriahkan lagi oleh perkhidmatan keretapi istimewa dari Ipoh ke Kampar,
lawatan orang ramai ke Coronation Hill, tempat kediaman En. Tong Sen, perarakan
murid-murid sekolah menerusi pekan Kampar yang dipimpin oleh Pasukan Pancaragam
Perak serta Acara Sukan Olahraga yang pertama di sekolah itu. Kawasan kediaman
Golden Dragon yang sebelumnya dikenali sebagai Coronation Hill sebenarnya
merupakan kediaman asal mendiang Eu Tong Sen yang telah menjadi seorang
hartawan hasil daripada perniagaan bijih timah dan getah.
Pada
tahun yang sama, seramai 178 pelajar telah berpindah ke bangunan sekolah baru
itu. Dalam tahum 1920, En. T.K. Cheong mula berkhidmat sebagai Guru Besar di
sekolah tersebut. Selama 12 tahun berkhidmat di situ, beliau telah berjaya
membuktikan diri sebagai seorang pentadbir yang cekap. Prestasi akademik mulai
meningkat dan peluang-peluang diberikan kepada pelajar-pelajar untuk melibatkan
diri dalam kegiatan-kegiatan ko-kurikulum seperti bola sepak, bola keranjang
dan Pengakap. Dalam tahun 1924, Pasukan Pengakap Kampar yang pertama ditubuhkan
oleh Ketua Pengakap, En. Lee Chak Pong. Kecekapan Pasukan Pengakap tersebut
membolehkannya dipilih untuk mewakili Perak di Jambori Negeri Selangor. Pasukan
First Kampar Scout merupakan pasukan pangakap yang terkemuka dari segi
kecekapan serba boleh di kalangan pasukan-pasukan pengakap di Perak
Di sepanjang tahun 1920 an, sekolah ini telah mencapai kemajuan
membanggakan di dalam pelbagai lapangan. Di samping itu bilangan pelajar yang
berdaftar di sekolah ini meningkat dari tahun ke tahun. Tahap pancapaian
palajar-pelajar di dalam bidang akademik dan ko-kurikulum juga turut meningkat.
Sehingga tahun 1928, bilangan pendaftaran pelajar meningkat kepada 352. Rev.
W.E. Horley sungguh gembira tentang perkembangan yang dicapai di sekolah ini
sehingga beliau merancang untuk membina sebuah lagi bangunan tambahan supaya
lebih banyak lagi bilik darjah dapat diadakan. (14) Namun begitu projek
tersebut hanya berjaya disempurnakan pada tahun 1936.
Pada tahun 1933, En. T.K. Cheong telah bertukar ke Parit Buntar dan tempatnya digantikan oleh En. Yong Ngim Djin. Pada masa itu jumlah pelajar yang berdaftar di sekolah itu sudah mencapai 354 orang. En. Yong Ngim Djin juga merupakan seorang pentadbir yang berwibawa. Beliau meneruskan usaha untuk membangunkan sekolah itu dari segi akademik dan ko-kurikulum terutamanya sukan. Menjelang tahun 1934, kelas-kelas yang ditawarkan di sekolah ini merangkumi Primary I, Primary II, Std. 1, Std. 2, Std. 3, Std. 4 dan Std. 5. Seterusnya kelas Junior Cambridge yang bermula pada tahun 1934 juga berjaya menempah kejayaan yang cemerlang. Selama 3 tahun berturut-turut, semua calon yang menduduki peperiksaan itu lulus. Pada masa yang sama, usaha juga dilakukan untuk memperkenalkan Bahasa Melayu serta Bahasa Cina di dalam kurikulumnya. Malah Pengetua sendiri mengambil inisiatif untuk mengajar Bahasa Melayu. (15)
Dalam tahun 1936 sebuah bangunan tambahan
berbentuk `L` yang terdiri daripada sebuah dewan, kantin dan bilik guru telah
siap dibina dengan perbelanjaan sebanyak $11,000. (16) Pembinaan bangunan
tambahan ini telah memenuhi impian Rev. Horley. Bangunan tambahan itu yang
terdiri daripada Dewan dan 2 buah bilik darjah itu yang dibina atas usaha En.
Yong Ngim Djin itu dibuka secara rasminya pada tahun 1936 oleh En. Marcus Rex,
Residen British Perak pada masa itu. En. Chong Wan Fook yang pada masa itu
merupakan Ketua Pengakap Daerah telah dikurniakan Pingat Kebaktian oleh Sir
Cecil Clementi yang datang khusus untuk
tujuan ini. (17)
Pada tahun yang sama juga Majalah tahunan
sekolah “KACSIAN” mula diterbitkan. Majalah tersebut terus diterbitkan sehingga
kini kecuali di antara tahun 1941-1946 apabila berlakunya Perang Dunia Kedua.
Kelas “School Certificate” yang pertama telah dibentuk pada tahun 1937. Kelas
ini terdiri daripada 13 orang pelajar sahaja. Kelas percubaan ini terbukti
berjaya apabila 12 daripada 13 calonnya lulus Peperiksaan Senior Cambridge. Di
antara tahun 1938 dan 1939, sekolah ini berjaya mencapai 75% kelulusan. Namun
begitu kelas tersebut berhenti pada tahun 1940 di atas arahan Jabatan
Pendidikan. Kelas ini hanya disambung semula pada tahun 1948. (18)
Di
dalam bidang sukan pula, pencapaian yang diperolehi oleh pasukan-pasukan
sekolah adalah sangat membanggakan. Di dalam permainan hoki, pasukan sekolah
berjaya menjuarai Too Jee Lim Shield di dalam Pertandingan Permainan Antara
A.C.S Perak. Di dalam permainan bola lisut pasukan sekolah telah berjaya
memperolehi beberapa kemenangan. Selain daripada itu minat pelajar-pelajar
terhadap sukan renang juga digalakkan dan jurulatih-jurulatih mengadakan
sessi-sessi latihan setiap minggu di Taman Eu Tong Seng, Kolam Renang Chong Sin
dan Kolam Renang Talam Mines.
Pada tahun 1939 En. Yong Ngim Djin telah ditukarkan ke Singapura dan
Rev. Doughlas P. Coole mengambil alih tugas sebagai Guru Besar di sekolah ini.
Beliau bertugas sehingga tahun 1941 kerana pada masa itu Tanah Melayu telah
dijajah oleh tentera Jepun. Di bawah pentadbiran Rev. Coole, sekolah ini terus
mengekalkan taraf pencapaian akademik dan kesukanan Pasukan Larian
Berganti-ganti sekolah telah berjaya
menjuarai Malayan Inter-School Half-Mile Relay dalam All-Malayan
Athletic Sports yang diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 1939. Dalam pada itu
isteri Guru Besar, Pn. Coole telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan
nyanyian dan muzik di dalam kurikulum sekolah. Kumpulan koir sekolah di bawah
pimpinan Pn. Coole telah diikhtiraf sebagai kumpulan koir sekolah yang terbaik
di antara sekolah-sekolah Methodist di All Malayan M.Y.P * Institute di Ipoh
pada tahun 1940. (* Methodist Youth Fellowship )
Dalam
tahun 1941, bangunan-bangunan di sekolah ini telah diduduki oleh Tentera Jepun
semasa berlakunya Perang Dunia Kedua. Pada waktu itu, persekolahan
diberhentikan. Tentera Jepun pernah menggunakan sekolah ini sebagai ibu pejabat
mereka. Maka tidak mustahil jika dikatakan bahawa sekolah ini pada zaman Jepun
pernah dijadikan tempat pentadbiran, tempat penahanan dan tempat menghukum
bunuh `pesalah-pesalah` yang kebanyakan terdiri daripada orang-orang yang
menentang Kerajaan Jepun. Setelah perang tamat pada bulan Ogos 1945,tentera
Malayan People’s Anti Japanese Army pernah menduduki bangunan sekolah ini
selama beberapa minggu. Di sini saya ingin memaklumkan bahawa bangunan sekolah
yang dimaksudkan itu ialah Sek. Ren. Methodist (A.C.S) Kampar sekarang kerana
Sek. Men. Kebangsaan Methodist (A.C.S) Kampar masih lagi belum dibina.
Sekolah
ini dibuka semula pada bulan Oktober 1945. Bangunan sekolah tersebut telah
mengalami kerosakan yang teruk akibat peperangan yang berlarutan selama
beberapa tahun lamanya. Pihak British pernah melancarkan peperangan secara
habis-habisan untuk menentang kemaraan tentera Jepun ke daerah Kampar selepas
barisan pertahanan British di Jitra tewas di tangan Jepun. Pertempuran tersebut
yang dikenali sebagai “The Battle Of Kampar”
berlarutan selama 4 hari, iaitu dari 30hb.
Disember,1941 hingga 2hb. Januari, 1942. Banyak rumah telah musnah akibat
peperangan tersebut terutamanya di kawasan perumahan Aston Settlement. (19)
Namun begitu pada 3hb. Januari, 1942, pihak British telah kalah dan berundur ke
Bidor. Tentera Jepun mengambil alih pekan Kampar dan dari masa itu penduduk
Kampar mulai hidup dalam zaman ketakutan dan kelaparan sehinggalah tentera
Jepun berundur pada September 1945.
En.
Wong Hean Kim dilantik sebagai Guru Besar apabila sekolah Anglo-Chinese School,
Kampar di buka semula pada bulan Oktober 1945. beliau telah berusaha keras
untuk mencari sumber kewangan untuk memulihkan semula keadaan fizikal sekolah
itu. Beliau telah menerima pinjaman pemulihan sebanyak $1,420 dari Pentadbiran
Tentera British (British Military Administration) untuk membaik pulih sekolah
itu. (20) Pada waktu itu ramai pelajar lelaki dan perempuan yang melebihi umur
memohon untuk belajar di sekolah ini. Masalah paling besar yang dihadapi ialah
kekurangan buku-buku teks untuk pelajar-pelajar dan guru-guru. Ramai guru
sementara diupah untuk membolehkan sessi persekolahan berjalan dengan lancar.
Dalam tahun 1946, bilangan pelajar yang berdaftar ialah 411 orang iaitu
melebihi angka sebelum perang iaitu hanya 380 sahaja. Bilangan ini merupakan
suatu jumlah yang besar pada masa itu.
Dalam bulan Januari 1947, En. V.D. Kuppusamy J.P. telah menggantikan
En.Wong Hean Kim sebagai Guru Besar sekolah. Beliau merupakan seorang ahli
pendidik yang berwibawa dan dibawah pentadbiran beliau, program pemulihan berjaya
disempurnakan dengan pinjaman sebanyak $9,900 daripada Kerajaan dan geran
sebanyak $6,837 daripada Methodist Crusade Fund. Dalam masa 2 tahun ini banyak
pembaharuan telah diperkenalkan. Majalah
KACSIAN muncul semula pada tahun
1947 dan terus dikeluarkan sehingga sekarang. Hari Ucapan juga
diperkenalkan untuk menghargai pencapaian pelajar-pelajar di dalam bidang
akademik dan ko-kurikulum.
Sistem komunikasi yang membolehkan pengumuman dibuat dari Bilik Guru Besar ke
semua kelas telah diperkenalkan. Selain daripada itu diadakan juga Museum
Sekolah, Pasukan Pandu Puteri dan Unit Palang Merah. Dalam tahun yang sama juga
Bahasa Melayu juga diperkenalkan semula dalam kurikulum Darjah 6 dan Darjah 7
dan pada tahun berikutnya, Bahasa Melayu diajar dari Darjah 3, 4 dan 5. Makmal
Sains telah ditempatkan di sebuah bangunan yang lain dengan peralatan yang
lebih lengkap.
Pada tahun 1948, pihak sekolah di bawah
pentadbiran En. Kuppusamy terpaksa membuat rancangan yang lebih berani dan
berwawasan untuk mengembangkan sekolah tersebut memandangkan masalah penempatan
pelajar-pelajar yang turut membimbangkan para ibu bapa. Dalam pada itu,
sekiranya sekolah itu hendak diperkembangkan lagi, ia haruslah diadakan di
sebuah tapak yang baru kerana sudah tiada lagi tanah tambahan. Oleh itu salah
satu alternatif yang terbaik ialah dengan menyewa Bangunan Goh Khoon yang
terletak di seberang Jalan Gopeng (Jalan Kuala Dipang sekarang) selama 3 tahun.
Bangunan ini terletak bertentangan dengan sekolah ini. Seterusnya En. V.D.
Kuppusamy melancarkan rancangan untuk membeli hartanah Goh Khoon itu dengan
harga sebanyak $70,000 kerana tapak itu sungguh sesuai.
Pada bulan Januari 1952, hartanah tersebut
telah berjaya dimiliki oleh pihak sekolah. Kos pengubahsuaian telah memakan
belanja sebanyak $35,000. Dalam pada itu pihak sekolah juga bernasib baik
kerana berjaya memperolehi geran kerajaan khas berjumlah $40,000 untuk
digunakan dalam pembangunan sekolah. (21) Ia
merupakan tapak baru bagi sekolah yang ada sekarang ini. Luas kawasan sekolah itu ialah kurang 2
ekar. Bermula dari waktu inilah sekolah tersebut telah berkembang menjadi
sebuah Sekolah Menengah yang
terkemuka di daerah Kampar.
Menjelang
tahun 1952, populasi sekolah ini telah meningkat kepada 533 orang pelajar
manakala bilangan gurunya ialah 14 orang. Pada waktu ini ramai pelajar daripada
sekolah Cina berdaftar untuk melanjutkan pelajaran yang berkelayakan maka kelas
Std. 8 tidak dapat diadakan dan oleh demikian pelajar-pelajar Std. 7 terpaksa
melanjutkan pelajaran (Std.8 ke atas) di sekolah-sekolah lain di luar Kampar
seperti di Ipoh.
Pada 6hb. April, 1953, sekolah ini telah
meraikan Jubli Emasnya dengan penuh gemilang. Berbagai acara telah diadakan
untuk menyambut ulang tahun ke 50
penubuhannya. Dalam pada itu beberapa orang kenamaan dan bekas Guru Besar juga
turut menghadiri majlis ini. Pada bulan Februari 1955, Klinik Pergigian Sekolah
telah dibuka di sekolah ini di bawah tajaan “United Nations International
Children’s Emergency Fund”. Dengan itu A.C.S Kampar telah menjadi salah satu
daripada sebilangan kecil institusi pendidikan yang mempunyai seorang jururawat
pergigian untuk menjaga kesihatan gigi pelajar-pelajarnya.
Pada 20hb. April, 1955, En. V.D.
Kuppusamy telah bersara dan tempatnya telah digantikan oleh En. A. Thomas
Ponniah dari Klang. Tetapi sebelum En. Kuppusamy bersara, beliau telah membuat
permohonan untuk satu lagi geran daripada pihak Kerajaan untuk membina bangunan
tambahan 3 tingkat kerana Dana Bangunan Sekolah (School Building Fund) masih
lagi tidak mencukupi. Beliau bersama-sama dengan Jawatankuasa Dana Bangunan
(Building Fund Committee)telah berusaha untuk mendapatkan dana untuk membina
sebuah bangunan 3 tingkat yang menempatkan 9 buah bilik darjah di tapak Goh
Khoon. Akhirnya satu Geran Kerajaan berjumlah $30,000 telah diberikan kepada
pihak sekolah dan projek ini berjaya disempurnakan oleh En. A.T. Ponniah.
Menjelang
tahun 1956, perjuangan rakyat Tanah Melayu untuk menubuhkan sebuah negara yang
merdeka makin hebat dan hampir mencapai matlamatnya. Oleh itu Dasar Pendidikan
Baru telah dirangka untuk membentuk satu Sistem Pendidikan Kebangsaan yang
dapat membentuk kesedaran dan kesetiaan terhadap negara Malaya. Adalah
diharapkan bahawa generasi baru ini akan menyumbangkan tenaga ke arah
pembangunan dan kemakmuran negara Malay yang kini diperintah oleh rakyatnya
sendiri. Di bawah dasar pendidikan baru ini kerana penguasaan terhadap Bahasa
Kebangsaan ini amatlah penting untuk mencapai perpaduan nasional. Walaupun
Bahasa Melayu kini diberi penekanan tetapi kepentingan Bahasa Inggeris juga
tidak diabaikan kerana ia penting untuk mencapai kemajuan didalam bidang-bidang
sains dan teknologi.
Pada
tahun ini juga sebanyak 4 buah Primary Classes terpaksa diadakan pada waktu
petang disebabkan masalah kekurangan bilik darjah. Ia dikenali sebagai
Methodist Afternoon School (M.A.S) Seramai 730 orang pelajar menjalani
persekolahan di sessi petang sejak 10hb. Januari, 1956. Seramai 21 orang guru
telah ditugaskan untuk mengendalikan kelas-kelas sessi petang ini. Sebenarnya
sekolah petang ini telahpun wujud sejak 25 tahun yang lalu oleh En. T.K. Cheong
untuk memberikan peluang kepada pelajar-pelajar lelaki dan perempuan yang
melebihi had umur untuk melanjutkan pelajaran. Sekolah pagi adalah dikhaskan
untuk pelajar-pelajar yang lebih muda ataupun menepati had umur. Oleh yang
demikian Methodist Mission mengadakan “Afternoon Schools” ini untuk memberikan
peluang kepada mereka yang kurang bernasib baik. Sekolah petang mendapat
sambutan yang baik selepas Perang Dunia II kerana masyarakat mulai sedar
terhadap kepentingan mempelajari B.Melayu dan B.Inggeris. Kebanyakan daripada
pelajar-pelajar ini berasal daripada Sekolah Cina. Pendekata, kewujudan sekolah
sessi petang ini adalah disebabkan bilangan sekolah di Tanah Melayu masih belum
mencukupi.
Seterusnya
Jawatankuasa Bangunan yang terdiri daripada ramai orang kenamaan dari pekan
Kampar telah berjumpa sebanyak 6 kali semenjak penubuhannya pada tahun 1955
untuk membuat rancangan-rancangan untuk mendapatkan derma bagi membina sebuah
bangunan 3 tingkat. Pengerusinya ialah En. Ng Yin Fong. Walaupun jumlah wang
yang sepenuhnya untuk membina bangunan tersebut masih belum lagi diperolehi
sepenuhnya, kerja-kerja pembinaan telah dijalankan. Seterusnya Geran Kerajaan
sebanyak $30,000 telah akhirnya melengkapkan dana untuk membina bangunan
tersebut. Bangunan tersebut akhirnya siap dibina pada bulan Januari 1957. (22)
Berbagai aktiviti telah dijalankan untuk mengutip derma termasuklah “The Dollar
Brick Fund” dimana setiap pelajar menyumbangkan sebanyak $1 seorang dan “Food
and Fun Fair”.
Berikutan
dengan pengenalan Dasar Pendidikan Baru, usaha yang giat sedang dijalankan
untuk meningkatkan taraf Bahasa Kebangsaan di sekolah Inggeris ini. Sekolah ini
terus memainkan peranan yang besar untuk mendidik rakyat Malay yang muda untuk
semangat perpaduan nasional di kalangan pelajar-pelajaryang terdiri daripada
berbilang bangsa Melayu, Cina dan India bekerja, bermain serta bergaul secara
bebas di antara satu sama lain sama ada di dalam bilik darjah ataupun padang.
Pada tahun 1956 bilangan pelajar yang berdaftar di sekolah ini sudah mencapai
1112 orang. Klasifikasi kaum untuk pelajar-prelajar adalah seperti berikut :
Melayu (177), Cina (746), India (183) dan lain-lain (6). Bilangan pelajar
lelaki ialah 698 orang dan bilangan pelajar perempuan ialah 414 orang. Bilangan
guru yang mengajar di sekolah ini pada masa itu ialah seramai 58 orang. (23)
Seterusnya
untuk peperiksaan Cambridge School Cetificate, sekolah ini telah mencapai 85%
kelulusan dalam peperiksaan 1955. Daripada 33 yang lulus, 7 memperolehi Gred 1,
12 Gred 2 dan 14 Gred 3. Mata pelajaran Bahasa Melayu diajar dari Darjah 4 sehingga Tingkatan 3. Pelajar-pelajar Darjah
5 dan Darjah 6 belajar seperti biasa di waktu pagi. Setiap kelas diperuntukan
sebanyak 2 waktu untuk mata pelajaran B. Melayu dalam seminggu. Dalam pada itu
kelas-kelas B. Melayu untuk Tingkatan 1, 2 dan 3 telah diadakan pada waktu
petang dari 5.30 petang hingga 8.00 malam. Setiap kelas diperuntukan masa
selama 45 minit. Pihak sekolah bercadang untuk memperkenalkan mata pelajaran
Bahasa Melayu di dalam kurikulum Tingkatan 4 pada tahun 1957 supaya B. Melayu
boleh diambil sebagai salah satu subjek dalam School Certificate Examination
pada tahun 1958. (24) Untuk menjayakan hasrat ini guru-guru sekolah ini juga
mengambil inisiatif untuk mempelajari serta mendalami Bahasa Melayu. Oleh itu
mereka telah membentuk satu kelas untuk mempelajari Bahasa Kebangsaan. Kelas
ini diadakan sebanyak 3 kali seminggu. En. Mohd. Zain b. Daud, seorang
kakitangan sekolah ini telah dipilih untuk mengendalikan kelas tersebut.
Pada
2hb. Mac, 1957 bangunan 3 tingkat yang mengandungi 9 buah darjah telah dibuka
secara rasminya oleh Y.T.M Raja Muda. Kemudahan-kemudahan untuk menjalani
kegiatan-kegiatan kerja pertukangan kayu, jahitan, menaip, menyimpan kira-kira
dan Sains Rumahtangga telah disediakan buat pertama kalinya. Pasukan Pancaragam
yang pertama juga ditubuhkan pada tahun 1957 di bawah En. Donald Smith (seorang
guru di sekolah ini). Kelas-kelas Peralihan juga ditubuhkan untuk membantu
pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah vernakular menyesuaikan diri setelah
bertukar ke bahasa perantaraan yang lain. (25) Bangunan ini juga mengandungi
kemudahan tandas. Pada tahun ini juga negara kita telah mencapai kemerdekaan.
Justeru itu sekolah turut memainkan peranan untuk mendidik dan melatih golongan
yang muda supaya menjadi rakyat yang setia dan berguna kepada negara yang baru
ini.
Bilangan
guru yang bertugas di sekolah ini pada tahun 1957 ialah seramai 43 orang. Pada
masa ini sudah terdapat 32 buah bilik darjah di sekolah ini untuk menampung
bilangan pelajar seramai 1,302 orang. Perpustakaan sekolah telah dipindahkan ke
bangunan baru dan ia kini menpunyai 1,256 buah buku. Kelas Perdagangan mula
diperkenalkan di mana Kerajaan telah memberikan geran untuk membeli 29 buah
mesin taip. Pelajar-pelajar dari tingkatan 1, 2 dan 4 diajar menyimpan
kira-kira dan menaip. Dalam pada itu pelajar- pelajar dari sekolah-sekolah
Cina, Melayu dan Tamil menerima kursus intensif dalam Bahasa Inggeris di Kelas
Peralihan dan S.M.C. mulai tahun ini untuk menyadiakan mereka memasuki kelas
Tingkatan 1 bersama-sama dengan calon-calon yang berjaya dalam Peperiksaan
Kemasukan Sekolah Menengah. Bahasa Kebangsaan diajar dari Darjah 1 ke Darjah 6
dan Kelas Peralihan. Setiap kelas diperuntukkan 4 waktu seminggu. Semua pelajar
Tingkatan 3 mengambil Bahasa Kebangsaan dalam Peperiksaan Lower Certificate of
Examination. (26)
Begitulah
laporan secara terperinci mengenai sejarah penubuhan serta perkembangan
Anglo-Chinese School sebelum Kemerdekaan. Sekolah
ini sudah mendapatkan status Sekolah Bantuan Kerajaan (Government Aided School) semenjak awal tahun 1950 an dalam bentuk
geran serta bayaran gaji untuk kakitangannya. Walaupun semenjak awal tahun
1957, sekolah ini sudah mempunyai 2 buah bangunan yang terletak di tapak yang
berlainan namun ia masih lagi merupakan satu sekolah yang menempatkan kedua-dua
Bahagian Sekolah Rendah serta Sekolah Menengah di bawah satu pentadbiran.
(E) Perkembangan Anglo-Chinese School, Kampar Selepas
Kemerdekaan (1958-1980)
Semenjak tahun 1950 langkah-langkah telah
diambil untuk mengkaji semula sistem pendidikan di negara ini supaya bersesuaian
dengan kehendak dan aspirasi rakyat Persekutuan Tanah Melayu. Agenda utama pada
masa itu ialah merangka dasar-dasar untuk membangunkan pendidikan Melayu.
Semasa Malaya sedang bergerak ke arah
kemerdekaan, langkah-langkah telah diambil untuk memperkenalkan proses evolusi
di dalam sistem pendidikan nasional. Justeru itu Dasar Pendidikan Nasional mula
dirangka pada Ogos 1955 apabila Jawatankuasa Khas ditubuh dan dipengerusikan
oleh Menteri Pendidikan, Tun Abdul Razak. Jawatankuasa tersebut mengemukakan cadangan-cadangan
untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan dalam proses yang
sama mengekalkan bahasa-bahasa serta kebudayaan-kebudayaan kaum lain di
Persekutuan itu. (27)
Jawatankuasa
yang lain dikenali sebagai Jawatankuasa Razak mengemukakan usul-usul tertentu
yang kemudiannya diterima oleh Majlis Perundangan Persekutuan dan kemudiannya
dijadikan asas untuk pembentukan Ordinan Pendidikan 1957. Jawatankuasa Razak
telah mengemukakan dasar-dasar seperti berikut yang seterusnya menjadi garis
panduan kepada semua sekolah di Malaya yang merdeka termasuklah Sekolah
Anglo-Chinese, Kampar.
(1) Menteri Pendidikan
bertanggungjawab terhadap pendidikan sekolah menengah, pendidikan lepasan sekolah menengah,
pendidikan teknikal,latihan perguruan dan hal-hal lain yang berkaitan dengan
pengawalan serta pembayaran geran-geran kepada pihak berkuasa pendidikan
tempatan untuk pendidikan sekolah rendah.
(2) Penubuhan pihak
berkuasa pendidikan tempatan (jabatan) yang akan bertanggungjawab terhadap
pendidikan sekolah rendah dan dibenarkan mendapatkan sumbangan kewangan
daripada masyarakat tempatan menerusi kaedah-keadah yang diluluskan.
(3) Penubuhan Badan
Nazir yang bebas.
(4) Menbenarkan 2 jenis
sekolah rendah ditubuhkan terutamanya
sekolah tanggungan persendirian dan sekolah bantuan kerajaan.
(5) Membenarkan hanya 2
jenis sekolah menengah ditubuhkan terutamanya sekolah tanggungan persendirian
dan sekolah bantuan kerajaan.
(6) Profesion perguruan
disusun semula.
(7) Badan dan lembaga
pengurus sekolah ditubuhkan di semua sekolah.
(8) Pendidikan lepasan
sekolah menengah dan lebih tinggi daripada itu serta pendidikan separuh masa
disediakan.
(9) Pendidikan teknikal
diselenggarakan dan diperkembangkan dan dalam 3 peringkat, iaitu Kolej
Teknikal, Insitusi Teknikal dan Sekolah Perdagangan. (28)
Seterusnya Jawatankuasa
tersebut juga mengusulkan supaya Bahasa Melayu dan
Bahasa Inggeris dijadikan mata pelajaran-mata
pelajaran wajib di kedua-dua sekolah rendah dan sekolah menengah. Lower
Certificate Of Education diperkenalkan di Tingkatan 3 dan Federation Of Malaya
Certificate Of Education di Tingkatan 5. Selain daripada itu Laporan Razak juga
menekankan pengenalan sukatan pelajaran yang sama di semua sekolah di
Persekutuan Tanah Melayu untuk melahirkan negara Malaya yang bersatu padu.
Selepas Kemerdekaan, Anglo-Chinese School
maju selangkah lagi di mana semenjak tahun 1958 sekolah tersebut telah
dipecahkan kepada 2 entiti yang berasingan. Langkah pemisahan ini diambil atas kehendak Dasar Pendidikan yang baru.
Bahagian Sekolah Rendah yang terdiri daripada 21 kelas, 894 murid dan 26 orang
guru diletakkan dibawah pentadbiran En. Fung Ung Ming (Guru Besar) dan Lembaga
Pengurus Sekolah. Seterusnya Bahagian Sekolah Menengah pula iaitu bermula dari
Kelas Peralihan hingga Tingkatan 5 yang terdiri daripada 14 kelas, 546 orang
pelajar dan 20 orang guru terus berada di bawah pentadbiran En. A.T. Ponniah
(Pengetua) dan Lembaga Pengurus Sekolah.
(29)
Sekolah
ini terus berkembang dan mencapai prestasi yang baik di dalam pelbagai bidang. Apabila keputusan L.C.E diumumkan pada awal
tahun 1958, ramai pelajar yang cemerlang pergi ke Ipoh untuk memasuki Aliran
Sains di sana. Ini ialah kerana sekolah ini hanya menawarkan mata pelajaran
Aliran Sastera di Tingkatan 4. Oleh itu untuk mengurangan pengaliran keluar
pelajar-pelajar yang pandai serta untuk meringankan beban pelajar yang miskin
maka mata palajaran Sains Tulin seperti Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik
Tambahan diperkenalkan buat pertama kalinya di Tingkatan 4 pada tahun 1959. En.
A.T. Ponniah bersara pada penghujung tahun 1959 selepas berkhidmat selama 41/2
tahun di Kampar.
Pada bulan Januari 1960 En. Tai Swee Kee seorang graduan Diploma dari Raffles College telah dilantik sebagai Pengetua. Pada masa itu bilangan pelajar di sekolah tersebut ialah 660 orang. Bilangan kelas yang ada ialah 17 buah. Buat pertama kalinya satu kelas Tingkatan 1 Aliran Melayu telah diadakan di sekolah. Pembentukan Kelas Aliran Melayu ini seterusnya menjadi asas kepada penubuhan Sek. Men. Kebangsaan Kampar pada tahun 1970. Selain daripada itu Kelas Pendidikan Lanjutan dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu juga diadakan dengan En. Tan Beng Lee sebagai Penyelia. Disebabkan bilangan pelajar yang mendaftar di sekolah ini makin meningkat maka masalah kekurangan bilik darjah timbul semula. Kantin sekolah terpaksa digunakan sebagai bilik darjah sementara.
Oleh
itu En. Tai Swee Kee terpaksa merancangkan projek kutipan derma untuk
mendirikan sebuah blok bangunan tambahan 3 tingkat yang mengandungi 9 buah bilik
darjah berharga $71,000. Pada tahun 1961 bilangan pelajar mencapai 841 orang
dan bilangan kelas berkembang menjadi 22 buah. Projek ini mendapat sokongan
yang kuat daripada OPA (Old Pupils’ Association). Ramai orang berada di daerah
Kampar menghulurkan sumbangan kewangan. Sumbangan Kerajaan ($40,000),
pelajar-pelajar ($7,717) serta Food And Fun Fair ($6,277) telah membolehkan
kerja pembinaan bangunan tersebut dimulakan pada bulan Disember 1961. (30)
Namun begitu sebelum projek tersebut siap, En. Tai Swee Kee telah bertukar ke
Sitiawan pada bulan Februari 1962 dan oleh itu tugas untuk menyiapkan projek
itu dipikul oleh En. Gong Ngie Kong yang juga seorang lulusan Diploma Raffles
College. Bilangan pelajar yang berdaftar pada masa itu telah menjangkau 1,047
orang dan mereka ditempatkan di dalam 28 buah kelas. Bilangan guru yang
mengajar di sekolah itu adalah seramai 43 orang.
Dalam bulan Mei 1962, bangunan baru itu yang mengandungi 9 buah bilik darjah telah dibina dan boleh diduduki. En. Gong melanjutkan lagi projek pembinaan dengan menaikkan lagi bumbung Bangunan Goh Khoon untuk memuatkan sebuah perpustakaan. Untuk makluman, perpustakaan tersebut merupakan salah satu perpustakaan sekolah yang terbesar di negeri Perak pada masa itu. Bumbung Bangunan Goh Khoon itu dinaikkan untuk membolehkan satu lagi tingkat konkrit dibina dan tingkat tambahan ini boleh menempatkan 3 buah bilik darjah. Kos pembinaan perpustakaan itu berjumlah $30,000. Pihak kakitangan sekolah juga turut membantu dengan mendermakam kerusi-kerusi untuk perpustakaan tersebut. (31)
Dalam pada itu Sekolah Menengah A.C.S.
Kampar ini juga merupakan Sekolah Menengah Methodist Mission yang ketiga besar
di Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1962 selepas A.C.S Ipoh (1,397 pelajar)
dan M.B.S Kuala Lumpur (1,050 pelajar) . Bilangan pelajar yang berdaftar di sekolah ini pada tahun tersebut
ialah 1,047. (32) Dalam tahun ini juga Makmal Biologi diwujudkan dengan
mengubahsuai 3 buah bilik darjah yang terletak sebelah menyebelah. Menjelang tahun 1963, sekolah ini telah
mempunyai penempatan dan kemudahan yang mencukupi dan dengan itu cukup
setanding dengan sekolah-sekolah di bandar. Kini tumpuan boleh disalurkan
sepenuhkan ke arah perkembangan fizikal, mental dan rohani pelajar-pelajar supaya
sekolah ini akan dapat terus melahirkan anggota-anggota masyarakat yang
berguna. (33) Dalam tahun ini juga bilangan
pelajar yang berdaftar ialah 1,239 orang dan ini menjadikan Sekolah Menengah
Methodist kedua besarnya di Persekutuan.
Tahun 1963 juga merupakan tahun yang penuh
meriah kerana pihak sekolah merayakan Jubli Intan atau Diamond Jubilee pada
7hb. September, 1963 untuk meraikan ulang tahun ke 60 tahun penubuhannya.
Pelbagai acara telah diadakan untuk memperingati Jubli Intan itu seperti Inter-Methodist
School Games, permainan di antara O.P.A. dengan anggota Kelab Guru, pertunjukan
konsert dan “Re-union Dinner” yang ditajakan oleh O.P.A. Pada malam itu
diadakan acara perarakan tanglung serta kereta berhias di pekan Kampar padang
awam. Sempena Perayaan Jubli Intan itu,
pihak sekolah telah menjemput tetamu khas Yang Berhormat Menteri Pelajaran,
Kapten Abdul Hamid Khan untuk membuka secara rasmi bangunan baru yang
mengandungi 12 bilik darjah, perpustakaan dan bilik guru. Semasa upacara
perasmian dijalankan, Kumpulan Koir Sekolah telah mendendangkan Lagu Jubli
Intan dengan diiringi ileh Pancaragam Sekolah. Lagu ini seterusnya dijadikan
Lagu Sekolah dan dinyanyikan di masa perhimpunan sehingga kini.
Berikutan
dengan keputusan yang cemerlang yang diperolehi oleh pelajar-pelajar perintis
Tingkatan 1 Aliran Melayu (tahun 1960) di dalam L.C.E. maka Ketua Pengawai
Pelajaran Perak telah mengarahkan supaya kelas-kelas tersebut juga dibenarkan
menerima pelajar-pelajar dari Ipoh dan Batu Gajah. (34) Dalam pada itu sekolah ini juga bekerjasama dengan sekolah
rendahnya untuk memulakan perkhidmatan “Bas Sekolah” mulai Penggal Kedua.
Sebanyak 2 buah bas baru telah dibeli oleh sekolah itu untuk membawa
pelajar-pelajar dari sekitar Gopeng, Malim Nawar dan Tronoh Mines ke
sekolah-sekolah tersebut di Kampar. Pada
19hb. November, 1963 DYMM Sultan Perak dan DYMM Raja Perumpuan melawat sekolah
ini pada pukul 4.00 petang, semasa lawatan rasmi ke Daerah Kampar. Ini
merupakan lawatan baginda yang kedua ke sekolah ini. Sultan Perak pernah
melawati sekolah ini pada tahun 1957 sebagai Raja Muda untuk merasmikan
bangunan pertama 3 tingkat ini. Baginda diraikan dengan jamuan teh dan
pertunjukan konsert di perpustakaan sekolah.
Dalam tahun ini juga Lencana Sekolah yang
baru telah dicipta untuk mengganti lencana yang lama menggantikan lencana yang
lama. Lencana sekolah yang baru itu mempunyai ciri-ciri berikut :
a)
Buku – melambangkan
Ilmu Pengetahuan
b)
Bunga Raya –
melambangkan Persekutuan Malaysia
c)
Insan – melambangkan
warganegaraan yang berguna kepada bangsa dan negara
Cogankata
sekolah ini ialah “Our Utmost For The Highest” ataupun “Keupayaan Kami Untuk
Yang Tertinggi”. Falsafah yang terkandung di dalam cogankata ini ialah ia
menggambarkan aspirasi sekolah yang inginkan semua pelajarnya mencurahkan
segenap tenaga dan usaha mereka untuk mencapai kecemerlangan di dalam pelbagai
bidang, baik dalam bidang akademik mahupun bidang ko-kurikulum. (35)
Menjelang
tahun 1964, terdapat lebih daripada 100 buah Sekolah Methodist di seluruh
Malaysia dengan jumlah pelajar yang melebihi 79,000 orang. Pada tahun ini juga
Majalah KACSIAN menerbitkan edisi khas “Special Kampar Issue” yang memuat
laporan secara terperinci mengenai sejarah pengasasan dan perkembangan Kampar.
Bahan-bahan yang terkandung di dalam ruangan khas ini meliputi artikel-artikel
serta gamber-gambar yang dihasilkan oleh guru-guru serta pelajar-pelajar dari
sekolah ini.
Dalam
tahun 1965, pihak sekolah merancang untuk membina sebuah lagi bangunan 3 tingkat
yang mengandungi 12 buah bilik darjah di Tingkat Bawah dan Tingkat Kedua
manakala sebuah Dewan di Tingkat Pertama. Pihak sekolah selama ini bergantung
kepada Gereja Methodist yang terletak di seberang jalan untuk mengadakan
majlis-majlis tertentu. Oleh itu sudah sampai masanya pihak sekolah ini
mempunyai sebuah Dewan yang tersendiri untuk kegunaannya. Usaha telah dilakukan
oleh pihak sekolah untuk mendirikan sebuah bangunan tambahan yang mengandungi
sebuah dewan serbaguna yang berukuran 30 kaki x 160 kaki, 12 buah bilik darjah
dan dua buah tandas untuk pelajar-pelajar perumpuan sahaja. Projek tersebut
melibatkan perbalanjaan melebihi $140,000. Usaha memungut derma telah
dijalankan malalui projek “Building Funds” dan “Food and Fun Fair”. En. Chin
Sun Khoon yang merupakan Pengerusi O.P.A. adalah orang pertama menyumbangkan
derma untuk projek ini. Beliau telah menyumbangkan derma sebanyak $10,000.
Pada
tahun 1966, Jawatankuasa Panitia telah ditubuhkan untuk semua subjek. Setiap
Jawatankuasa diketuai oleh seorang Ketua Panitia atau Pengerusi dan
ahli-ahlinya terdiri daripada guru-guru yang mengajar mata pelajaran tersebut.
Jawatankuasa ini bertanggungjawab menguruskan semua hal yang berkaitan dengan
subjek masing-masing.
Bangunan sekolah yang baru (bangunan yang
ketiga) telah siap dibina pada tahun 1966 dan ia dibuka secara rasmi pada 17hb.
Mac, 1966 oleh Menteri Pelajaran, Yang Berhormat Encik Mohamed Khir Johari.
Beliau barasa kagum di atas semangat `gotong royong` di kalangan masyarakat
sekolah dan masyarakat Kampar mengembelingkan tenaga untuk menjayakan projek
pembinaan bangunan baru ini. Oleh kerana itu beliau kemudiannya meluluskan
geran bernilai $50,000 untuk sekolah ini dan geran itu diterima oleh En. Chin
Sun Khoon selaku Pengerusi Jawatankuasa Bangunan Sekolah. (36) Sumber kewangan
yang diperolehi itu seterusnya digunakan untuk memperbaiki kemudahan-kemudahan
di sekolah ini.
Oleh itu beberapa buah lagi projek telah
dirancang untuk tujuan ini. Bahagian belakang kawasan sekolah ini telah
dinaikkan dan ditukarkan menjadi gelanggang bola keranjang / bola tampar,
gelanggang bola jaring / tenis dan sepak takraw / badminton. Tapak perhimpunan
dan lorong kenderaan telah ditarkan untuk mencegah masalah kesesakan lalu lintas
di kawasan sekolah. Satu Badan Waden Trafik telah ditubuhkan untuk
mengendalikan hal-ehwal lalu lintas.
Semenjak tahun 1967, sekolah ini telah
mencatatkan bilangan pelajar yang paling ramai sekali. Justeru itu sekolah ini
memegang rekod sebagai Sekolah Menengah Methodist tanpa Tingkatan 6 yang
terbesar bukan sahaja di Negeri Perak malah di seluruh Malaysia. (37) Pada tahun 1968, saiz Bilik Guru dan Bilik
Sains Rumahtangga dipanjangkan sebanyak 25 kali lagi. Pelajar-pelajar daripada
Persatuan Sastera Tingkatan 5 telah mengorak langkah menerbitkan makalah “
BERITA”. Pelajar-pelajar Tingkatan 4 juga tidak ketinggalan menerbitkan itu
makalah “SUARA KACSIAN” mereka sendiri. Kedua-dua penerbitan itu merupakan
aktiviti-aktiviti usahasama dengan kooperasi sekolah. Keuntungan yang
diperolehi daripada penjualan makalah-makalah itu digunakan untuk membantu
pelajar-pelajar miskin di sekolah.
Pada tahun 1969, Pejabat Sekolah telah
diubahsuaikan. Setelah siap, Pejabat itu kini mempunyai 2 tingkat dengan 1
tingkat tambahan di bawah tanah. Tingkat atas dijadikan bilik mesyuarat.
Pejabat sekolah ditempatkan di bahagian bawah dan ia dilengkapi dengan alat
penghawa dingin. Dalam tahun ini juga seorang pelajar Tingkatan 2 (Aliran
Melayu) yang bernama Mohd. Amin b. Nawi telah dinamakan Pahlawan Hang Tuah di
atas keberanian beliau menyelamatkan 3 rakannya daripada mati lemas di dalam
Sungai Kinta (kawasan Bukit Pekan). Sebagai menghargai jasanya sebagai wira
kanak-kanak, Mohd. Amin telah diberikan layanan yang istimewa di dalam Perayaan
Hari Kanak-Kanak pada 6hb. Oktober, 1969.
Pada tahun yang sama juga pihak sekolah
memulakan projek untuk membina sebuah lagi bangunan tambahan. Bangunan 3
tingkat (yang keempat dan yang terakhir) yang bernilai $100,000 ini terletak di
antara Blok Pejabat sekolah dan Blok Dewan sekolah. Ia akan menempatkan sebuah
Bengkel Seni Perusahaan, sebuah Makmal Sains dan 7 buah bilik darjah tambahan.
Berhubung dengan projek tersebut, pihak sekolah telah menerima Geran Kerajaan
sebanyak $30,000 dan selebihnya daripada hasil derma orang ramai. Ahli-ahli
keluarga mendiang Pn. Annie Ong Teng Kim (bekas ahli Lembaga Pengurus Sekolah –
School Board Of Governors) telah mendermakan wang sebanyak $3,000 kepada pihak
sekolah untuk projek tersebut. Sebagai tanda penghargaan,pihak sekolah telah
menamakan Makmal Sains itu sempena namanya. Seterusnya pihak sekolah telah
menamakan Makmal Sains itu sempena namanya. Seterusnya pihak sekolah juga
menerima sumbangan kewangan sebanyak $10,000 daripada keluarga mendiang En.
Chin Sun Fee dan nama beliau diabadikan di dalam Blok Seni Perusahaan. (38) Semasa blok bangunan baru tersebut sedang
dibina, pihak sekolah seterusnya membuat rancangan untuk membina sebuah
gelanggang badminton tertutup yang boleh juga digunakan sebagai gimnasium.
Pembinaan gelanggang tertutup itu melibatkan kos sebanyak $20,000 dan ia
merupakan gelanggang tertutup sekolah yang pertama di Kampar.
Pada
tahun 1970, Sekolah Menengah Kebangsaan Kampar telah dibina dan sekolah ini
bersedia untuk menyerap pelajar-pelajar Aliran Melayu Tingkatan 1, 2 dan 3 dari
sekolah ini. Pelajar-pelajar Aliran Melayu dari Tingkatan 4 dan 5 juga akan
diserapkan oleh sekolah baru itu pada tahun 1971. Bagaimanapun, sekolah itu
yang diterajui oleh En. Mohd Zain b. Daud sebagai
Pengetuanya yang pertama masih diletakkan di
bawah pengawasan sekolah ini sehingga pada tahun 1973 apabila ia diasingkan
secara rasmi. (39) Di antara tahun 1971-1972, peratus kelulusan pelajar-pelajar
Tingkatan 5 di dalam M.C.E. telah jatuh ke bawah paras 70%. Selama ini peratus
kelulusan pelajar-pelajar dalam M.C.E. sentiasa melebihi 70%. Punca utamanya
ialah mulai tahun 1971, kelulusan dalam kertas Bahasa Malaysia adalah
diwajibkan untuk lulus seluruh peperiksaan M.C.E. Apabila Kertas tersebut
diperkenalkan, ramai pelajar telah gagal dan memperolehi sijil Gred 4 (G.C.E)
sahaja.
Pada 22hb. September, 1972, Blok Bangunan
Seni Perusahaan telah dibuka secara rasminya oleh Tuan Haji Hamdan b. Sheikh
Tahir, Pengarah Pendidikan Malaysia. Pada
tahun 1973, Lembaga Pengurus Sekolah telah bersetuju untuk menukarkan nama
sekolah dari Anglo-Chinese Secondary School, Kampar kepada Sekolah Menengah
Methodist (A.C.S), Kampar. (40)
Mulai tahun 1976, semua pelajar Tingkatan 1 dikecualikan daripada membayar
yuran sekolah. Ini ialah mengorak langkah ke arah pendidikan yang percuma
menjelang tahun 1980. Pada 31hb. Disember, 1978, En. Gong Ngie Kong bersara
selepas berkhidmat sebagai Pengetua di sekolah ini selama 17 tahun. Tempat
beliau telah digantikan oleh En. Low Mui Chuan pada tahun 1979.
Mulai
tahun 1979, penghantaran pelajar-pelajar daripada Sek. Men. Ren. Malim Nawar,
Perak (12 km daripada Kampar) untuk melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 4 di
sekolah ini telah dihentikan kerana sekolah tersebut sudahpun memulakan
kelas-kelas Tingkatan Empatnya sendiri. Oleh itu bilangan pelajar yang
berdaftar di sekolah ini berkurangan sedikit iaitu daripada 1,679 pada tahun
1978 kepada 1,580 pada tahun 1979. Bilangan guru di sekolah ini ialah 62 orang
pada masa itu.
Dari
segi akedemik pula, pretasi pencapaian pelajar-pelajar Tingkatan 5 di dalam
peperiksaan M.C.E. 1979 telah meningkat kepada 77%. Peratus kelulusan yang
tinggi ini menjadikan sekolah ini salah sebuah sekolah yang terbaik di Negeri
Perak. Pada tahun 1980, pendidikan sekolah menengah menjadi percuma untuk semua
pelajar. Ini termasuk Skim Bantuan Buku Teks dan Biasiswa yang bertujuan untuk
menyediakan peluang pendidikan kepada semua lapisan rakyat termasuk yang
termiskin. Pada tahun ini juga pihak sekolah bercadang untuk membaikpulih serta
mengubahsuai keadaan fizikal bangunan-bangunan di sekolah ini. Program
pengindahan sekolah yang dijalankan akan memberikan wajah baru kepada sekolah
ini. Dalam pada itu tahun 1980 menandakan bermulanya B. Malaysia sebagai bahasa
penghantar di semua-semua Sekolah Menengah sejajar dengan Dasar Pelajaran
Kebangsaan. Pelajar-pelajar mula diberikan pendidikan percuma sehingga tamat
persekolahan. Sebelumnya pelajar-pelajar Sekolah Menengah Aliran Inggeris
dikehendaki membayar yuran setiap bulan.
Di
bawah pentadbiran baru ini, beberapa perubahan telah dilakukan untuk
memperbaiki keadaan bangunan serta persekitaran sekolah ini. Di antara
pembaharuan-penbaharuan yang diadakan adalah seperti berikut :
-
Perlancaran Kempen Kebersihan serta mengadakan Pertandingan Kebersihan
setiap minggu di mana `Piala Kebersihan` diberikan kepada kelas terbersih.
-
Perlancaran `Kempen Keceriaan` untuk mengindahkan kawasan persekitaran
sekolah. Pasu-pasu bunga ditempatkan di sepanjang kaki lima Tingkat Bawah
bangunan sekolah. Pelajar-pelajar digalakkan supaya membersihkan dan menghiasi
bilik darjah masing-masing.
-
Sebuah surau telah diadakan untuk memudahkan pelajar-pelajar menunaikan
tanggungjawab agama mereka.
-
Rayuan derma untuk menghawa dinginkan perpustakaan sekolah ini juga
mendapat sambutan yang baik. Sebanyak $13,000 telah berjaya dipungut untuk
projek ini. Sebanyak 6 buah alat penghawa dingin telah dipasang di perpustakaan
itu untuk membolehkan pelajar-pelajar belajar dengan selesa. Banyak buku telah
dibeli untuk nenambahkan bilangan buku yang sedia ada.
-
Kesemua pengawas perpustakaan telah diberikan lencana dan tali leher
khas dan mereka diwajibkan memakainya semasa waktu sekolah. (41)
(F) Rumusan
Sistem pendidikan negara kita
berkembang maju semenjak Zaman Kemerdekaan. Jika di Zaman Penjajahan, dasar
pelajaran telah dicorakkan untuk memenuhi matlamat penjajah iaitu `pecah dan
perintah` namum kini sistem pendidikan Malaysia telah dibentuk selaras dengan
Dasar Pendidikan Kebangsaan yang bermatlamat untuk memupuk semangat perpaduan
nasional yang benar-benar bersifat Malaysia. Jika pada Zaman Kolonial isi
kandungan kurikulum sekolah-sekolah hanya setakat untuk membolehkan
pelajar-pelajar Tanah Melayu menguasai pengetahuan `3 R` sahaja tetapi selepas
Kemerdekaan kurikulumnya adalah lebih menyeluruh untuk menyediakan generasi
muda untuk menghadapi cabaran-cabaran di zaman kemajuan sains dan teknologi.
Tidak dapat dinafikan bahawa sekolah ini telah berkembang
dengan pesatnya semenjak penubuhan pada April 1903. Semua ini adalah hasil
daripada usaha keras, pengorbanan serta kerjasama kakitangan-kakitangan,
pelajar-pelajar serta ahli-ahli masyarakat Kampar untuk membangun serta
memajukan institusi pendidikan ini demi untuk kepentingan masa depan generasi
yang akan datang. Memanglah tidak dapat disangka bahawa sekolah ini yang pada
peringkat awalnya bertempat di sebuah bangunan Gereja di tengah pekan Kampar
telah berkembang dengan begitu pesat dari segi infrastruktur serta pendaftaran
pelajar, iaitu mencapai 2,085 orang pada tahun 1972. Program-program untuk
membina bangunan-bangunan sekolah telah berjalan dengan begitu giat terutamanya
di antara tahun 1950 an dan 1970 an telah berjaya membangunkan kemudahan
infrastruktur di sekolah ini ke tahap yang agak memuaskan.
Selepas tahun 1972 sehingga tahun 1998 (sewaktu penulisan
dibuat) tiada lagi bangunan tambahan yang baru didirikan. Ini ialah kerana
pihak sekolah menghadapi masalah kekurangan sumber kewangan dan lagipun ruang
di kawasan sekolah ini telahpun digunakan secara sepenuhnya. Akhirnya kata,
sekolah ini telah mampu berkembang serta berubah di luar jangkaan para pelajar,
guru dan Pengetua yang lalu (sebelum merdeka). Seandainya Rev. Horley masih
lagi hidup, beliau mungkin akan berasa amat bangga dan kagum terhadap kemajuan
pesat yang dicapai oleh sekolah ini. Di antara tahun 1950 an sehingga 1970 an,
masyarakat sekolah ini amat bertuah kerana berpeluang menikmati kemudahan yang
paling banyak sekali di dalam Daerah Kampar ini.
NOTA
KAKI
1)
Profail Sek. Men. Methodist (A.C.S), Kampar, Institut Aminuddin
Baki, K. Lumpur, Kementerian Pendidikan Malaysia, 1993.
2)
Ho Seng Ong, Methodist Schools In Malaysia, Board Of Education Of
The Malaya Annual Conference, Petaling Jaya Methodist Education Centre,
1964, hlm. 79.
3)
The Kacsian, Volume 36, Sek. Men. Methodist (A.C.S) , Kampar, Ipoh, Rajan
& Co., 1978, hlm.76.
4)
Ho Seng Ong, op. Cit., hlm. 79.
5)
Hicks, E.C., History Of English Schools In Perak, Ipoh, The
Perak Library, 1958, hlm. 27.
6)
The Kacsian-Diamond Jubilee Number,. Volume 21, Anglo-Chinese
Secondary School, Kampar, Ipoh, Rajan & Co., 1963, hlm. 78.
7)
Ho seng Ong, op. Cit., hlm. 138.
8)
Ibid, hlm. 139.
9)
Ibid, hlm. 21.
10)
The Kacsian – Diamond Jubilee Number, op. Cit., hlm. 10.
11)
Hicks, E.C., op. Cit., hlm. 27.
12)
The Kacsian, Volume 36, op. Cit., hlm. 78.
13)
Hicks, E.C., op. Cit., hlm. 28.
14)
Ibid, hlm. 28.
15)
The Kacsian – Diamond Jubilee Number, op. Cit., hlm. 11.
16)
The Kacsian, Volume 36, op. Cit., hlm. 50.
17)
Hicks, E.C., op. Cit., hlm. 28.
18)
Ibid, hlm. 28.
19)
The Kacsian – Special Kampar Issue, Volume 22, Anglo-Chinese Secondary
School, Kampar, Ipoh, Rajan & Co., 1964, hlm. 36.
20)
Ho Seng Ong, op. Cit., hlm. 624.
21)
The Kacsian, Volume 36, op.cit., hlm.52.
22)
The Kacsian, Volume 14, Anglo-Chinese School, Kampar, Ipoh, Regina Press,
1956, hlm. 2.
23)
Ibid, hlm. 3.
24)
Ibid, hlm. 4.
25)
Ho Seng Ong, op. Cit., hlm. 626.
26)
The Kacsian, Volume 15, Anglo-Chinese School, Kampar, Ipoh, Regina Press,
1957, hlm. 6.
27)
Hakim Dato’ Abdul Aziz, Laporan Surohanjaya Di-Raja Mengenai Perkhidmatan Guru-Guru Malaysia
Barat, K. Lumpur, Jabatan Chetak Kerajaan, 1968, hlm. 16.
28)
Ibid, hlm. 16.
29)
The Kacsian, Volume 36, op. cit., hlm. 55.
30)
Ho Seng Ong, op. cit., hlm. 627.
31)
The Kacsian, Volume 36, op. cit., hlm. 86.
32)
The Kacsian, Volume 20, Anglo-Chinese Secondary School, Kampar, Ipoh, Rajan
& Co., 1962, hlm. Editorial.
33)
The Kacsian – Diamond Jubilee Number, op. cit., hlm. Message.
34)
Ibid, hlm. 16.
35)
Profail Sekolah Menengah Methodist (A.C.S), Kampar, op. cit.
36)
The Kacsian, Volume 36, op. cit., hlm. 62.
37)
Ibid, hlm. 60.
38)
Ibid, hlm. 64.
39)
Profail Sekolah Menengah Methodist (A.C.S), Kampar, op. cit.
40)
Ibid.
41)
The Kacsian, Volume 38, Sek. Men. Methodist (A.C.S), Kampar, Ipoh, Rajan
& Co. Printers Sdn. Bhd., 1980, hlm. 5 – 30.
BAHAN-BAHAN RUJUKAN :
a)
Sejarah Sekolah-Sekolah Negeri P. Pinang, Jawatan Kuasa Sejarah
Sekolah-Sekolah Negeri P. Pinang, George Town Printers Sdn. Bhd., Pulau Pinang,
1976.
b)
E.C. Hicks, History Of English Schools In Perak, The Perak
Library, Ipoh, 1958.
c)
W. Linehan, Annual Report On Education In The Straits Settlements
And The Federated Malay States For The Year 1938, The Goverment Printing
Office, Singapore, 1939
d)
Hakim Dato’ Abdul Aziz, Laporan Surohanjaya Di-Raja Mengenai
Perkhidmatan Guru-Guru Malaysia Barat, Jabatan Chetak Kerajaan, Kuala
Lumpur, 1968.
e)
Profail Sekolah Menengah Methodist (A.C.S), Kampar, Institut Aminuddin
Baki, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur, 1993.
f)
The Kacsian, Volume 14, Anglo-Chinese School, Regina Press Ltd., Ipoh,
1956.
g)
The Kacsian, Volume 18, Anglo-Chinese School, Rajan & Co., Ipoh, 1960.
h)
The Kacsian, Volume 20, Anglo-Chinese School, Rajan & Co., Ipoh, 1962.
i)
The Kacsian – Diamond Jubilee Number, Volume 21, Anglo-Chinese
Secondary School, Kampar, Rajan & Co., Ipoh, 1963.
j)
The Kacsian – Special Kampar Issue, Volume 22, Anglo-Chinese
Secondary School, Kampar, Rajan & Co., Ipoh, 1964.
k)
The Kacsian, Volume 36, Sekolah Menengah Methodist (A.C.S), Kampar, Rajan
& Co., Ipoh, 1978.
l)
The Kacsian, Volume 38, Sekolah Menengah Methodist (A.C.S), Kampar, Rajan
& Co., Ipoh 1980.
m)
Ho Seng Ong, Methodist Schools In Malaysia, Board Of Education
Of The Malaya Annual Conference, Methodist Education Centre, Petaling Jaya,
1964.
Hak Cipta : En. Chang Hon Woon ( 1998 )
1903
Mr. Ling Ching
Mi 45
1904 Mr. Phang
Ah Sang 70
1910
- 1911
Mr. Kwan Tien
Poh _
1912
- 1913
Mr. Chu Chong
Khe _
1913
- 1914
Mr. Lim Eng
Chuan _
1914
- 1917
Rev. Paul Ponniah _
1918
- 1919
Mr. V. John _
1919
- 1920
Rev. C. J.
Hall 178
1920
- 1932
Mr. T. K. Cheong 247
1933
- 1939
Mr. Yong Ngim
Djin 354
1939
- 1941
Rev. D. P.
Coole 380
1941
- 1945
--- World War
II ---
1945
- 1946
Mr. Wong Hean
Kim 411
1947
- 1955
Mr. V. D. Kuppusamy 463
1956
- 1955
Mr. A. T. Ponniah 991
SINCE NEW
SET UP 1958 :
YEAR SECONDARY HEAD ENROLMENT PRIMARY HEAD ENROLMENT
1958 Mr. A. T. Ponniah 506 Mr.
Fang Ung Ming 891
1959 - do - 542 - do - 918
1960 Mr. Tai Swee Kee 658 - do - 984
1961 - do - 846 - do - 1016
1962 Mr. Gong Ngie Kong 1047 - do - 1101
1963 - do - 1239 - do - 1167
1979
Mr.
Low Mui Chuan
1992 Mr. K. Rajalingam
2000 Mr. Ng Sweet Kim
Rev. W. E. Horley
Lencana
Baru Selepas 1963